enuff is not enuff

Jumaat, 23 November 2018

Berlawan Dengan Syaitan 2


Bab 4 – Pertembungan Pertama


“Hello, assalamualaikum cik Kiah” ucap Kamal perlahan ditelefonnya.
“Waalaikumsalam, siapa ya? Nama tak keluar dalam telefon saya…” soal suara dihujung talian.
“Saya Kamal” balas Kamal pendek.
“Ohh..Kamal. Lama tak dengar berita. Abang Yim pun lama juga tak telefon akak..” terang Rokiah pendek.
“Oh ye ke” Kamal menjawab dengan nada terkejut.
“Ya Kamal. Akak pun tak tahu apa khabarnya Abang Yim. Minggu lepas dia ada telefon bagitahu yang dia tak dapat balik kampung sebab ada urusan penting..” sayu suara Rokiah menjawab respon Kamal.
“Okay kak, macam ni. Saya ada berita nak maklum pada akak. Terlebih dulu saya mohon maaf banyak-banyak..” ucap Kamal dalam nada sedih.
“Kenapa Kamal?” soal Rokiah dalam nada terkejut.
Kamal memberitahu berita kematian Rahim kepada isterinya yang bernama Rokiah. Dia terpaksa menceritakan sedikit sebanyak beberapa kejadian yang berlaku sebelum arwah meninggal dunia semalam. Dia juga telah menguruskan penghantaran jenazah untuk dibawa pulang ke kampung arwah di utara semenanjung. Jenazah dijangka tiba selewat-lewatnya jam sepuluh malam nanti.
Isteri Rahim menangis teresak-esak mendengar berita yang disampaikan oleh Kamal. Rokiah tidak dapat menahan sedih dan hibanya kerana suaminya meninggalkannya tanpa sebarang berita. Dia hanya berserah kepada Allah swt atas perkara yang menimpa keluarga mereka.

§§

“Encik Kamal, pihak syarikat ada menjalankan derma kilat untuk arwah Encik Rahim” ucap Asad sewaktu menyerahkan sampul bersaiz A4 kepada  Kamal.
“Baik Encik Asad. Terima kasih saya ucapkan bagi pihak keluarga arwah. Saya akan sampaikan kepada isteri arwah” jawab Kamal.
“Saya mohon pelepasan awal Encik Asad untuk bantu keluarga arwah menguruskan jenazah Rahim” balas Kamal lagi.
“Baiklah Encik Kamal” angguk Asad.

§§

Asad memandu pulang seperti biasa pada hari ini. Dia sudah menguruskan urusan kematian Rahim. Dia mengarahkan pemandu syarikat untuk membawa Kamal pulang ke kampung Rahim bagi menguruskan urusan jenazah dan pengkebumian arwah. Dia juga mengarahkan agar sedikit bantuan barangan runcit disediakan kepada keluarga waris dan juga kutipan derma kilat dapat diserahkan kelak.
“Nasib baik Sofea bagi tahu aku pagi tadi, kalau tidak aku pun tak baca berita dalam suratkhabar tu dan tiada siapa yang perasan musibah yang menimpa Rahim” bisik hati kecilnya.
“Sofea cuti lagi sampai minggu depan. Balik kampung juga katanya. Tapi kenapa ya agaknya” Asad tertanya-tanya di dalam hati punca Sofea, anak Datuk Hisyam dan Datin Nina, iaitu tuan punya syarikat Cemerlang Venture bercuti panjang dikampung.
“Ala, nanti Sofea balik nanti dia mesti cerita dengan aku…” Asad tersenyum sendirian sambil meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya.
Asad tiba-tiba terpandang seorang budak berdiri di tengah jalan. Dia terkejut dan mengelak keretanya dari terlanggar budak tersebut. Dia berusaha keras untuk mengawal kenderaan yang dipandunya dengan seberapa pantas sebelum ia hampir melanggar tiang lampu jalan. Kelihatan asap kecil keluar dari tayar kereta yang diberhentikan dengan cemas ditepi jalan menghadap tiang lampu yang hampir dirempuh pemandunya.
Asad mengangkat kepalanya dan melihat ke cermin pandang belakang. Dia membetulkan cermin berkenaan agar dapat melihat dengan lebih jelas apa yang berlaku dibelakang kenderaannya. Tiada apa yang dapat dilihat. Dia melihat jam di dashboard keretanya. Waktu menunjukkan jam 6.06 petang. Asad memegang lehernya yang sedikit sakit akibat kemalangan ini. Dia membuka tali pinggang keledar dan membuka pintu kereta.
Asad turun dari kereta dan menutup pintu kereta. Dia melihat sekeliling lokasi dia ditimpa kemalangan ini. Asad tidak dapat mengecam lokasinya. Namun yang demikian, dia berjalan ke arah belakang untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku sebentar tadi. Dia mahu mengetahui nasib budak yang hampir dilanggarnya dengan segera. Sekiranya budak tersebut tercedera dia harus membantu untuk membaca budak itu ke hospital.
Asad sampai ke belakang keretanya. Dia melihat ke jalan raya dan terlihat kesan tayar keretanya yang melakukan perberhentian kecemasan.
Asad tidak melihat kelibat budak itu. Dia memandang sekeliling dan gagal untuk mengesan sesiapa di kawasan itu. Dia berjalan terus sambil matanya mengeksplorasi kawasan disekitar dimana dia ternampak seorang budak yang berdiri ditengah-tengah jalan sebentar tadi.





Dapatkan ebook "Berlawan Dengan Syaitan" sekarang di :





Tiada ulasan:

Catat Ulasan