enuff is not enuff

Jumaat, 16 November 2018

Berlawan Dengan Syaitan 2


Bab 3 – Kematian Mengejut


“Kamal, mana Encik Rahim ya? Dia cuti ke hari ini?” tanya Asad kepada Kamal yang merupakan kawan baik Rahim.
“Ohh Rahim…dia cuti sakit hari ini Encik Asad” jawab Kamal pendek.
“Encik Rahim sakit apa?” soal Asad semula.
“Dia ada telefon saya hari sabtu lepas. Katanya dia kemalangan. Doktor bagi rehat cuti sakit selama tiga hari” balas Kamal.
“Saya harap berita ni tiada kena mengena dengan Encik Rahim” ucap Asad sambil meletakkan surat khabar di atas meja di mana Kamal sedang duduk. Kemudian Asad menudingkan jarinya kepada satu ruangan di dalam surat khabar berkenaan.
Kamal membetulkan duduknya dan melihat ke arah berita yang ditunjukkan oleh Asad kepadanya.
Tajuk berita Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan dengan gambar seorang lelaki yang duduk ditempat pemandu dengan kepalanya didapati berada di atas stereng. Nombor pendaftaran dan mata mangsa di kaburkan di dalam berita tersebut.
Kamal seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya kerana dia sangat pasti mangsa dalam berita itu adalah kawannya Rahim.
“Eh…ni Rahim ni, Encik Asad…!” jerit Kamal.
“Saya pun rasa macam Rahim tapi saya takut tersilap…” balas Asad pula.
“Keluarga dia bukan ada kat sini. Jauh kat utara sana!” tambah Kamal lagi.
“Apa kata Encik Kamal temankan saya pergi ke hospital dan kita cuba dapatkan maklumat tepat dari sana?” cadang Asad kepada Kamal.
Kamal hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Dia kemudian bangkit dari kerusi dan terus mengekori pergerakan Asad.
§§

Asad dan Kamal tiba di kawasan hospital kira-kira jam 10.30 pagi. Mereka berdua bergegas ke bahagian kecemasan bagi mendapatkan maklumat berkenaan Rahim daripada petugas-petugas yang berada di kaunter tersebut. Mereka di syorkan untuk ke bilik simpanan mayat di hospital berkenaan bagi tujuan pengecaman.
Asad dan Kamal berjalan pantas menuju ke lokasi berkenaan yang terletak di bahagian belakang hospital. Raut wajah Kamal agak gusar kerana dia tidak tahu bagaimana untuk memaklumkan berita sedih ini kepada waris Rahim kelak.
Tiba di pintu masuk ke bilik jenazah, Kamal menarik daun pintu dan terus masuk diikuti Asad yang mengekori dari belakang. Mereka berhenti di hadapan kaunter dan mula mendapatkan maklumat. Pegawai di kaunter memaklumkan bahawa lelaki yang mereka cari adalah sama dengan identiti mayat berkenaan. Walaubagaimanapun, pengecaman diperlukan bagi mengesahkan identiti mayat tersebut dan borang pengesahan perlu ditandatangani sebelum sebarang urusan berkaitan dapat disempurnakan.
Kamal bersetuju dengan arahan dari pegawai tersebut. Mereka berdua dikehendaki masuk ke dalam untuk mengecam mayat.
Saat Kamal cuba menyelak kain putih yang menutup kepala mayat, tiba-tiba tangannya dipegang oleh Asad.
Kamal memandang wajah Asad.
“Kenapa?” soalnya.
“Encik Kamal dah bersediakah nak tengok wajah Encik Rahim?” jawab Asad cemas.
“Saya tak pasti Encik Asad. Saya terpaksa juga tengok untuk mengesahkan bahawa mayat ini adalah Rahim” balas Kamal semula.
Asad menganggukkan kepalanya.





Dapatkan ebook "Berlawan Dengan Syaitan" sekarang di :






Tiada ulasan:

Catat Ulasan