enuff is not enuff

Rabu, 13 Disember 2017

Keluarga Bahagia.




Konsep keluarga adalah “Institusi keluarga adalah unit sosial yang kecil dalam sesebuah masyarakat. Sekiranya keluarga itu baik, maka masyarakat turut menjadi baik. Kesejahteraan dalam masyarakat mempunyai hubungan rapat dengan pembinaan individu dalam institusi keluarga yang berkualiti menurut Islam” (rujukan : http://journalarticle.ukm.my/3419/) . Semua orang mengimpikan keluarga bahagia. Kalau boleh seperti keluarga kita sendiri iaitu ada abah, mak dan adik-beradik kita. Kita rasa bahagia dengan keluarga adik-beradik kita. Bergaduh dan berselisih faham itu perkara biasa dalam keluarga besar iaitu mempunyai adik-beradik yang ramai. Berbeza kalau kita merupakan anak tunggal keluarga kita. Keadaan pasti berbeza walaupun kita tidak mempunyai adik-beradik untuk kita berselisih faham. Anak tunggal berselisih faham dengan ibubapa dia; cumanya dia beruntung kerana ibubapa tiada lagi anak yang lain untuk dicurahkan kasih sayang mereka. Oleh itu, anak tunggal ini ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ oleh sesetengah ibubapa. Tidaklah menjadi kesalahan kerana, sekiranya betul cara asuhan dan didikan oleh ibubapa, anak tunggal ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah. Barulah keluarga akan menjadi bahagia apabila masing-masing memainkan peranan masing-masing dengan baik. Begitu juga dengan keluarga yang besar. Saya mempunyai empat adik beradik dengan satu ibu dan satu ayah. Ada kawan saya mempunyai beberapa adik-beradik dengan satu ayah dan dua ibu; ada juga yang dua ayah dan satu ibu; maksudnya perceraian berlaku dan anak-anak ini memperolehi ayah atau ibu tiri. Anak-anak mereka mempunyai saudara tiri. Penceraian dalam keluarga bukan bererti keluarga tidak bahagia tetapi lebih menjurus kearah kesesuaian individu tersebut dalam konteks keluarga berkenaan. Perkara yang paling utama adalah kesesuaian ibu dan bapa dalam membentuk keluarga mereka. Sekiranya kesesuaian wujud dan kurang pertelingkahan diantara mereka, saying menyayangi keduanya diantara satu sama lain, pasti anak-anak akan dipantulkan dengan nilai-nilai positif dan harmoni bagi membolehkan keluarga bahagia ini tercipta. Dan selepas itu, apabila anak-anak ini membesar dan menjadi dewasa, mereka juga mengimpikan keluarga yang bahagia. Saya juga mengimpikannya kerana ganjaran Allah kepada sesiapa yang berkahwin adalah sangat tinggi disisiNya (Firman Allah SWT dalam Surah An-Nuur 24; Ayat 32 : “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya – pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.”)(Rujukan : http://www.surah.my/). Kita diibaratkan membina ‘masjid’ sekiranya kita berani menyahut cabaran Allah untuk berkahwin kerana bukan semua orang sanggup berbuat demikian dengan alasan tidak bersedia dan sebagainya. Keluarga bahagia bukan berlandaskan kemewahan dan material semata-mata. Ia merupakan satu perjalanan bagi satu pasangan yang berkongsi hidup dan beranak-pinak. Seterusnya, anak-anak mereka pula meneruskan tradisi berkenaan dan beranak-pinak pula. Perjalanan yang dimaksudkan adalah, konsep keluarga itu sendiri adalah berkongsi hidup bersama-sama dan meneruskan hidup. Sekiranya sesebuah keluarga itu ‘gagal’ menghadirkan kebahagiaan yang dikehendaki, kemungkinan keluarga tersebut akan terjebak dengan keporak-perandaan dalam hubungan kekeluargaan dimana ibubapa dan anak-anak menghadapi konflik yang tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana ahli dalam keluarga dan akhirnya mereka berpecah-belah dan seterusnya institusi keluarga ini runtuh dengan sendirinya apabila sampai waktunya. Oleh itu, keluarga yang bahagia sangat penting dalam menyumbangkan kekukuhan dalam hubungan kekeluargaan yang sentiasa berubah-ubah mengikut masa dan ketika. Saya bersyukur kerana keluarga ibubapa saya kukuh sehinggalah ibu saya meninggal dunia. Saya dan adik-beradik lain membina keluarga kami sendiri selepas ibu tiada. Ayah pula cuba membina semula keluarga baru kami dengan berkahwin lain. Masing-masing kini sudah mempunyai keluarga bahagia masing-masing dengan ‘acuan’ masing-masing. Saya juga sudah mempunyai anak-anak dan begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain, masing-masing juga sudah mempunyai anak-anak. Anak-anak inilah yang akan meneruskan legasi keluarga bahagia kami di masa depan. Kita boleh membimbing mereka dari sekarang agar menjadi seorang individu yang cemerlang agar disuatu masa nanti, mereka akan mampu untuk membentuk keluarga mereka yang bahagia juga.
Rujukan :
1.      http://www.surah.my/
2.      http://journalarticle.ukm.my/3419/ “Konsep keluarga berkualiti menurut Islam”


#geinwoenterprise
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir

COPYRIGHT © 2000-2017 by StormG, GEnius INteractive WOrks ( GEINWO ) Ent. http://www.geinwo.com
All Rights Reserved.
DISCLAIMER: Copying or re-publishing this articles in any manner possible is illegal and prohibited. The author will take legal action to any wrong doing or unethically of conduct.


Khamis, 30 November 2017

BINGO DAN RAMBO



Satu hari didalam sebuah kampung tinggallah seekor kucing jantan yang bernama Bingo dan seekor ayam jantan yang bernama Rambo. Mereka merupakan sahabat baik. Selalu menghabiskan masa bersama-sama setiap petang di 'port' bawah pokok kelapa 'tuan' mereka. Hari ni Bingo nampak macam susah hati. Rambo perasan perubahan wajah pada Bingo. "Kenapa Bingo?"
"Aku risaulah Ram..."
"Ada masalah lakibini ke?"
"Bukan yang itu.."
"Kalau bukan tu mesti masalah anak-anak kau...aku tahu anak-anak kau memang nakal sikit, sabar ja lah"
"Bukan juga Ram...ni masalah lain"
"Cuba kau try explain, kurang sikit stress kau tu.."
"Aku nak explain tapi aku malu nak jelaskan"
"Apa nak dimalukan? Kita dah macam saudara walaupun fizikal kita jauh berbeza"
"Ram, bukan semua masalah kita boleh kongsikan."
"Aku tahu Bingo. Kalau kau tak kenal aku dan aku tak kenal kau memang lah macam tak kena kalau kau bagitau aku. Tapi kita dah kawan lama dah. Aku kenal mak ayah kau, sama juga macam kau, dah kenal dengan mak ayah aku. "
"Ram, kalau kau takde duit kau risau tak?"
"Apasal tukar topic? Tadi kata ada masalah. Yang kau tanya kenapa aku risau kalau takde duit kenapa?"
"Ni la masalahnya. Anak-anak aku nak masuk sekolah tahun depan. Budget aku macam tak dapat nak tampung perbelanjaan mereka."
"Kenapalah kau risau sangat pasal masalah ni?"
"Mestilah aku risau. Macam orang putih tu cakap, if you fail to plan then you are planning to fail. "
"Aku pelik la kenapa kau fikir sangat pasal masalah ni. Aku tak heran pun."
"Ya lah, aku ni kan ayah mithali. Aku kena fikir semua perkara ni. Aku tak boleh duk diam ja. Nanti bila dah susah baru nak cari jalan penyelesaian, tak guna dah."
"Tadi kau makan apa Bingo?"
"Apasal kau tukar topik pulak? "
"Aku tak tukar topik. Aku cuma tanya soalan mudah pada engkau."
"Kau ni peliklah Ram."
"Kau pulak cakap aku pelik. Patut kau cermin diri kau tu kenapa aku cakap kau pelik tadi."
"Aku okay ja. Makan tengahari tadi macam biasalah. Tuan aku buh dalam bekas makanan aku kat tempat biasa dan waktu biasa."
"Okay, sekarang kau tengok dalam lopak air kat situ."
"Kau nak aku tengok apa Ram?"
"Aku nak kau pergi dan bagitau aku apa yang kau lihat kat situ."
Si Bingo berjalan malas ke lopak air tersebut. Apabila sampai dia terus melihat ke dalam lopak air itu. Tiada apa yang menarik, cuma refleksi muka dia dalam lopak air itu. Bingo kembali berjalan menuju ke bawah pokok kelapa.
"Apa yang kau nampak tadi?"
"Eh...dah tentulah muka aku!"
"Haa..kan?.."
"Habis tu kenapa?" Bingo buat muka tak puas hati dengan jawapan Rambo.
"La, aku ingat kau faham dengan apa yang aku cakap tadi.."
"Aku mana faham. Kau suruh aku pergi ke lopak air tu. Kau suruh aku tengok dalam lopak. Aku dah cakap dengan kau tadi. Aku nampak muka aku la...apa yang susah kau nak faham?", balas Bingo panjang lebar.
"Okaylah, aku ingat kau faham tapi kau tak faham rupanya. Maksud aku suruh kau pergi tengok kat lopak sebab aku nak kau sedar yang kau tu seekor kucing! Kau mana kerja. Kau tak bagi makan anak bini kau, tapi Tuan kita yang bagi. Yang kau sibuk nak buat belanjawan bagai ni kenapa? Kau tu kucing, bukan manusia. Kalau kau manusia, lain la...adohaii...", jelas Rambo dengan panjang lebar kepada si Bingo yang sedang tersenyum macam kambing...


#geinwoenterprise
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir

COPYRIGHT © 2000-2017 by StormG, GEnius INteractive WOrks ( GEINWO ) Ent. http://www.geinwo.com
All Rights Reserved.
DISCLAIMER: Copying or re-publishing this articles in any manner possible is illegal and prohibited. The author will take legal action to any wrong doing or unethically of conduct.


Rabu, 29 November 2017

Pelekat Hijau yang ramai orang tidak tahu.



Kita biasa beli barang di pasar, supermarket, minimarket, hypermarket; dan mana-mana premis yang menggunakan sebarang alatan untuk mengukur atau menyukat sesuatu barang yang kita beli, kita mungkin tidak perasan yang semua peralatan tersebut mestilah ditentusahkan oleh satu badan yang dilantik oleh kerajaan bagi mengawalselia urusan jual-beli tersebut. Badan yang dilantik itu adalah Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM) di bawah agensi seliaan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan). Jadi, untuk apa pelekat hijau ini? Apa kegunaannya? Mudah sahaja, ia merupakan salah satu tanda pengesahan dari MCM bahawa sebarang pelekat yang telah dilekatkan ke sebarang peralatan pengukuran ataupun sukatan telah ditentusahkan oleh pegawai yang dilantik bagi mengelakkan penipuan dalam ukuran mahupun sukatan yang dijalankan semasa urusniaga diantara penjual dan pembeli. Sebagai contoh, alat timbangan untuk menimbang berat ikan yang dibeli dipasar, bagi memastikan timbangan tersebut adalah betul dan tepat, satu pelekat akan ditampal dibahagian dalam diantara nombor-nombor dijarum penimbang yang mesti bermuka dua; depan dan belakang. Sebelum kita membuat timbangan ikan tersebut, sebagai pengguna yang prihatin dan bijak, kita seharusnya perasan pelekat berwarna hijau ini ditampal disitu. Pastikan tarikhnya belum luput. Seharusnya, pelekat berkenaan memaparkan maklumat seperti tarikh luput, kod jenis alat dan nombor daftar bagi penentusahan tersebut. Sekiranya kita perasan samada tarikh nya sudah luput, kita bolehlah memaklumkan kepada peniaga berkenaan dan meminta alat timbang yang belum tamat tempoh digunakan bagi timbangan yang tepat. Sekiranya peniaga enggan, kita boleh membuat aduan ke KPDNKK bagi mengambil tindakan sewajarnya ke atas peniaga berkenaan mengikut undang-undang dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972. Begitu juga dengan peralatan sukatan lain, sebagai contoh pam di stesen minyak, pembaris mengukur sukatan kain ela, timbang elektronik, mesin meter tempat meletak kenderaan (kawasan terbuka), mesin meter masuk ke tempat meletak kenderaan (kawasan tertutup), dan juga meter-meter teksi dan sebagainya yang kita boleh lihat dan perasan. Oleh itu, bermula dari sekarang, kita harus melihat perkara-perkara ini sebelum menjalankan sebarang urusniaga agar kita dapat mengelakkan sebarang penipuan oleh peniaga yang menggunakan alatan sukatan yang telah diubahsuai dan timbangan yang menyeleweng.

Rujukan :
1.       http://www.kpdnkk.gov.my

Ahad, 19 November 2017

Kenali Potensi Diri Anda!




Semua orang suka dengar rahsia. Saya pun suka. Tapi lagi syok kalau rahsia tu bermanfaat untuk diri sendiri terutamanya. Saya bukan pakar dalam bidang ini tapi cukup sekadar untuk saya 'pandu arah' ke mana saya harus tuju dalam hidup. Mungkin dah terlambat bagi sesetengah orang untuk 'ubah' apa yang sudah 'dipilih' tetapi sesungguhnya selagi berpeluang untuk mengubahnya menjadi lebih baik, mengapa tidak kita teruskan?
Saya cuma seorang manusia biasa. Saya juga banyak buat silap dalam pemilihan yang saya lakukan dalam hidup. Tapi itulah 'adat-resam' dalam menjalani kehidupan. Sebab itu Allah suruh kita mencari ilmu sebanyak mungkin supaya kita lebih bijak dalam membuat keputusan.
Saya tak tahu potensi diri saya. Saya tahu banyak orang bercerita pasal potensi diri. Macam mana nak jadi kaya, hidup senang, berjaya dan macam macam lagi kisah gembira. Belum pernah lagi saya dengar cerita, orang nak cari cara macam mana nak hidup susah, melarat, merempat dan sebagainya dalam hidup kecuali dia sendiri yang pilih untuk jadi macam itu. Secara fitrahnya, semua manusia fikir perkara yang positif sepanjang hidupnya; sekurang kurangnya lepas dia dah boleh berfikir sendiri; dia 'mengejar' 'kejayaan' yang dihadapan dia. Yang dah lepas tak guna nak kenang lagi. Dah lepas pun.
Oleh itu, saya cuba berfikir benda yang paling asas berkenaan potensi diri saya; Rahsia tarikh lahir saya dari sudut metafizik. Sebagaimana Allah menetapkan solat lima waktu dan rakaatnya, saya pasti ada rahsia disebalik semua itu termasuklah yang berkaitan dengan diri saya. Saya pun mula mencari ilmu berkenaan dan berhasil mendapatkan sedikit untuk diri saya berkenaan dengan tarikh lahir saya. Rupanya banyak juga yang bermanfaat untuk diri saya hanya berdasarkan tarikh lahir saya. Sesungguhnya ilmu Allah itu luas; Dia Maha Mengetahui dan Maha Mencipta. Ini bukan meramal nasib atau jadi ahli nujum, tetapi fakta yang berkait rapat dengan nombor yang mewakili tarikh lahir anda.
Saya tak perlu nak guna bomoh atau khidmat pakar kaunseling bagai; memadai dengan apa yang perlu saya tahu pasal diri saya sendiri dan saya boleh terus praktikkan dalam hidup. Sebagai contoh, rupanya warna yang paling sesuai dengan saya berdasarkan tarikh lahir adalah warna merah, oren dan ungu. Ini adalah warna aura saya. Oleh itu sekiranya saya menggunakan warna ini dalam urusan saya sehari-hari, insya Allah saya akan memaksimumkan 'energi positif' dalam apa jua yang saya lakukan. Apa maksud 'energi positif' ni? Maksudnya, saya dapat 'menyerap' caj-caj positif disekeliling saya dimana sahaja saya berada; di rumah, di pejabat; ditempat awam dan sebagainya. Apa guna 'serap' 'energi positif' ini? Supaya kita jadi lebih 'positif' dalam hidup dan apa jua yang kita lakukan. Kita akan lebih 'bijak' dalam membuat pilihan sewaktu kita sedang melakukan sesuatu yang bermanfaat dan 'positif'.
Okay sekarang saya dah tau warna yang sesuai dengan diri saya. Saya juga tahu saya dari elemen yang mana satu; Logam, Air, Api, Kayu dan Tanah; yang mana satu ya? Saya membuat sedikit pengiraan dan saya termasuk dalam kumpulan orang yang merupakan elemen api. Okay baik, kalau saya dari elemen api; apa pekerjaan atau perniagaan yang sesuai saya buat? Sebelum saya 'tahu' saya ini merupakan elemen ini, saya bekerja sebagai penjual kereta, membuat kerja pemasaran, menjadi pegawai khidmat pelanggan dan sebagainya yang sebenarnya tidak sesuai untuk saya teruskan sekiranya saya ingin memaksimumkan potensi diri saya. Tidak hairanlah, semua pekerjaan tersebut saya tinggalkan kerana saya tidak boleh 'survive' dengan pilihan berkenaan atau dengan erti kata lain, 'gagal'. Akhirnya saya 'bertemu' dengan kerjaya yang 'sesuai' dengan potensi diri saya tanpa saya 'sedari'. 'Akhirnya' itu telah memakan masa saya yang sangat banyak untuk saya 'temui'. Jika saya tahu lebih awal bukankah lebih baik? 'Malangnya' atas kejahilan saya mencari ilmu saya telah merugikan diri sendiri walhal saya boleh ubah nasib saya sekiranya saya mahu dengan izin Allah. 'Menjadi jahil' adalah pilihan sendiri bukan Allah yang tetapkan. Sama juga dengan perihal 'mengenal Allah' adalah dengan cara kita mencari jalan untuk 'mendekatiNya' dan 'mencariNya' bukan sebaliknya.
Okay saya dah tahu kerjaya yang sesuai, sekarang saya nak buat part-time berniaga kerana saya ingin menambahkan pendapatan hakiki saya. Kalau tinggal di bandar ini, gaji sahaja tidak cukup untuk menampung hidup. Nak bayar sewa rumah, bil elektrik, bil air dan sebagainya sudah cukup untuk kita buat pilihan mudah iaitu berniaga bagi menambah pendapatan sampingan. Saya telah memulakan perniagaan 'online' saya untuk menambah pendapatan. Saya menjual air vitagen, air mangga, sabun lemon pencuci muka, menjual nasi bungkus, menjual chia seed dan macam macam lagi tapi semuanya 'gagal' bukan kerana saya tak dapat untung tetapi sebenarnya perniagaan tersebut 'tidak sesuai' dengan rahsia tarikh lahir saya. Sebagaimana saya 'mengenal-pasti' kerjaya yang sesuai, saya juga telah mengenal pasti 'jenis' perniagaan yang 'sesuai' dengan diri saya. Saya mempunyai sedikit pengetahuan
berkenaan dengan komputer dan perisian Microsoft Office; oleh itu dengan sedikit ilmu yang Allah kurniakan kepada saya, saya berjaya membangunkan sistem pengiraan mudah tarikh lahir yang saya guna-pakai sekarang. Cukuplah sekadar kita tahu warna dan kesesuaian kerjaya dan perniagaan dengan diri kita. Sekurang-kurangnya kita dapat panduan untuk membuat sesuatu perkara dengan lebih berjiwa positif dan yakin dengan izin Allah kita akan berjaya.
Saya nak kongsi program ini dengan anda semua tetapi yang BASIC VERSION punya.
Sekiranya anda nak tengok bagaimana program itu berfungsi, boleh lah lawati laman web saya di
http://www.geinwo.com/laporan-tarikh-lahir.html
Semoga dengan perkongsian ini anda dapat 'membuat' pilihan yang bersesuaian dengan diri anda. Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu berusaha untuk mengubahnya. Semoga bermanfaat.