enuff is not enuff

Ahad, 22 April 2018

Eh, tak boleh tumpang lah!


“Yang, hari ni awak ambil saya balik, saya pening kepala lah” ucap isteriku di hujung talian.

“Ok” balasku pendek.


Aku kembali menyambung untuk menaip kerja-kerjaku yang belum siap lagi. Rasanya macam tak sempat sebab hari ni aku kena keluar awal sedikit untuk ke pejabat isteriku. Aku pun jadi pelik kenapa dia sakit kepala hari ini. Oh mungkin banyak kerja kat pejabat, sebab tu sakit kepala, bisik hatiku.


Waktu berlalu begitu pantas sehingga aku tak sedar jam di dinding sudah menunjukkan jam lima petang. Aku pun mengemaskan mejaku. Kemudian aku menutup suis komputerku kerana aku harus bergegas balik. Jika tidak, aku mungkin tiba lewat di pejabat isteriku.


Selesai semua, aku pun keluar dari bilik selepas menutup suis lampu. Aku berjalan laju menuju ke pintu ‘access’ untuk keluar dari pejabat. Selepas itu, aku menekan butang lif pula untuk turun ke bawah. Agak lama juga aku menunggu barulah lif terbuka untuk aku. Lalu aku pun menekan butang B1 untuk ke tempat letak kenderaan motor.


Dengan sepantas kilat aku sudah meluncur ke jalan raya untuk mengambil isteriku di pejabatnya. Dalam tempoh masa lebih kurang dua puluh minit, akhirnya aku tiba di perkarangan pejabat isteriku bekerja. Aku lalu mematikan enjin motor dan mengeluarkan telefon untuk memaklumkan kehadiranku di pejabatnya.


“Awak, saya dah sampai bawah” begitulah pesanan ringkas yangku hantar kepadanya.

Dalam tempoh beberapa saat kemudian, isteriku membalas pesananku.


“Ok, tunggu sat na”.

Dalam waktu menunggu itu, aku menghabiskan masa dengan bermain ‘games’.

Tidak beberapa lama kemudian, isteriku turun dan berjalan ke arahku.


Dari jauh aku sudah dapat melihat dia  tersenyum ke arahku.

Setelah dia sudah sampai ke sisi motor kami, aku bertanya kepadanya sebab-sebab dia merasa sakit kepala.


Dia memaklumkan bahawa banyak sedikit kerja pada hari ini. Lagipun dia tidur agak lewat malam tadi maka dia rasa agak mengantuk. Tetapi disebabkan dia mahu menyiapkan kerjanya dengan segera, perasaan mengantuk itu ditahannya dan menyebabkannya sakit kepala.


“Ok, takpelah, balik rumah nanti awak rehat dulu. Kalau mengantuk sangat, awak tidurlah sekejap” syorku kepadanya.


Dalam masa yang sama, kami berdua sudah pun menaiki motor untuk pulang ke rumah. Aku pun tak banyak tanya di atas motor seperti kebiasaannya kerana isteriku yang tidak berapa ‘segar’ akibat keletihan.


Aku pun melencongkan motor ku untuk melalui jalan ‘short-cut’ menuju pulang. Jalannya tidak rata dan berbatu-batu kecil. 


Pada waktu itulah, dengan tiba-tiba ada beberapa ekor anjing menyalak-nyalak ke arah motor yang dinaiki kami berdua. Aku hanya buat ‘selamber’ sahaja melihat anjing-anjing itu membuat bising. 


Tiba-tiba salah seekor anjing tu bertindak agresif. Ia bukan sahaja menyalak kuat tetapi mula mengorak langkah untuk mengejar motor kami. 


Aku terkejut dan isteriku pula terperanjat apabila anjing-anjing itu beramai-ramai mula mengejar motor kami. Isteriku menjerit-jerit terkejut kerana anjing itu betul-betul berada dikiri dan kanan sisi motor kami. Dia memelukku sekuat-kuatnya kerana anjing-anjing itu tidak berhenti-henti menyalak.


“Mana boleh ikut woiii!!! Dah penuh la woii!! Kau naiklah motor orang lain, kurang ajar punya anjing!” jerit aku sekuat-kuat hatiku sambil menunggang motor dengan lebih laju. Nyaris terjatuh kami berdua di selekoh tajam berpasir kerana anjing-anjing itu ada yang tergelincir masuk ke dalam longkang.


“Padan muka korang, ada hati nak tumpang motor pulak!” ketawa besarku diikuti dengan deruan motor yang lebih laju setelah aku melepasi selekoh tajam tersebut.

Isteriku ketawa sekuat-kuat hatinya kerana ucapan-ucapan yang aku lontarkan kepada anjing-anjing tersebut.


Setelah sampai di kawasan rumah kami, aku masih boleh mendengar ketawanya yang belum berhenti. 


“Kenapa awak ketawa?” soal aku serius.

Isteriku hanya masih ketawa dan mula menutup mulutnya kerana masih menahan ketawa.

Aku mengulangi soalanku semula.


“Awak marah anjing tu sebab awak ingat anjing tu nak naik motor kita ni ke?” ucap isteriku sambil ketawa dan mukanya merah menahan ketawa.
“Ye ke awak?” keningku berkerut apabila mendengar penerangan isteriku.


#geinwoenterprise
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir

COPYRIGHT © 2000-2018 by SHAH ISKANDAR, GEnius INteractive WOrks ( GEINWO ) Ent. http://www.geinwo.com
All Rights Reserved.
DISCLAIMER: Copying or re-publishing this articles in any manner possible is illegal and prohibited. The author will take legal action to any wrong doing or unethically of conduct.