Kita biasa beli barang di pasar,
supermarket, minimarket, hypermarket; dan mana-mana premis yang menggunakan
sebarang alatan untuk mengukur atau menyukat sesuatu barang yang kita beli,
kita mungkin tidak perasan yang semua peralatan tersebut mestilah ditentusahkan
oleh satu badan yang dilantik oleh kerajaan bagi mengawalselia urusan jual-beli
tersebut. Badan yang dilantik itu adalah Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd
(MCM) di bawah agensi seliaan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Koperasi dan Kepenggunaan). Jadi, untuk apa pelekat hijau ini? Apa kegunaannya?
Mudah sahaja, ia merupakan salah satu tanda pengesahan dari MCM bahawa sebarang
pelekat yang telah dilekatkan ke sebarang peralatan pengukuran ataupun sukatan
telah ditentusahkan oleh pegawai yang dilantik bagi mengelakkan penipuan dalam
ukuran mahupun sukatan yang dijalankan semasa urusniaga diantara penjual dan
pembeli. Sebagai contoh, alat timbangan untuk menimbang berat ikan yang dibeli
dipasar, bagi memastikan timbangan tersebut adalah betul dan tepat, satu
pelekat akan ditampal dibahagian dalam diantara nombor-nombor dijarum penimbang
yang mesti bermuka dua; depan dan belakang. Sebelum kita membuat timbangan ikan
tersebut, sebagai pengguna yang prihatin dan bijak, kita seharusnya perasan
pelekat berwarna hijau ini ditampal disitu. Pastikan tarikhnya belum luput. Seharusnya,
pelekat berkenaan memaparkan maklumat seperti tarikh luput, kod jenis alat dan
nombor daftar bagi penentusahan tersebut. Sekiranya kita perasan samada tarikh
nya sudah luput, kita bolehlah memaklumkan kepada peniaga berkenaan dan meminta
alat timbang yang belum tamat tempoh digunakan bagi timbangan yang tepat.
Sekiranya peniaga enggan, kita boleh membuat aduan ke KPDNKK bagi mengambil
tindakan sewajarnya ke atas peniaga berkenaan mengikut undang-undang dibawah
Akta Timbang dan Sukat 1972. Begitu juga dengan peralatan sukatan lain, sebagai
contoh pam di stesen minyak, pembaris mengukur sukatan kain ela, timbang
elektronik, mesin meter tempat meletak kenderaan (kawasan terbuka), mesin meter
masuk ke tempat meletak kenderaan (kawasan tertutup), dan juga meter-meter
teksi dan sebagainya yang kita boleh lihat dan perasan. Oleh itu, bermula dari
sekarang, kita harus melihat perkara-perkara ini sebelum menjalankan sebarang
urusniaga agar kita dapat mengelakkan sebarang penipuan oleh peniaga yang
menggunakan alatan sukatan yang telah diubahsuai dan timbangan yang
menyeleweng.
Rujukan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan