“Yang, hari ni awak ambil saya balik, saya pening kepala
lah” ucap isteriku di hujung talian.
“Ok” balasku pendek.
Aku kembali menyambung untuk menaip kerja-kerjaku yang belum
siap lagi. Rasanya macam tak sempat sebab hari ni aku kena keluar awal sedikit
untuk ke pejabat isteriku. Aku pun jadi pelik kenapa dia sakit kepala hari ini.
Oh mungkin banyak kerja kat pejabat, sebab tu sakit kepala, bisik hatiku.
Waktu berlalu begitu pantas sehingga aku tak sedar jam di
dinding sudah menunjukkan jam lima petang. Aku pun mengemaskan mejaku. Kemudian
aku menutup suis komputerku kerana aku harus bergegas balik. Jika tidak, aku
mungkin tiba lewat di pejabat isteriku.
Selesai semua, aku pun keluar dari bilik selepas menutup
suis lampu. Aku berjalan laju menuju ke pintu ‘access’ untuk keluar dari
pejabat. Selepas itu, aku menekan butang lif pula untuk turun ke bawah. Agak
lama juga aku menunggu barulah lif terbuka untuk aku. Lalu aku pun menekan
butang B1 untuk ke tempat letak kenderaan motor.
Dengan sepantas kilat aku sudah meluncur ke jalan raya untuk
mengambil isteriku di pejabatnya. Dalam tempoh masa lebih kurang dua puluh
minit, akhirnya aku tiba di perkarangan pejabat isteriku bekerja. Aku lalu
mematikan enjin motor dan mengeluarkan telefon untuk memaklumkan kehadiranku di
pejabatnya.
“Awak, saya dah sampai bawah” begitulah pesanan ringkas
yangku hantar kepadanya.
Dalam tempoh beberapa saat kemudian, isteriku membalas
pesananku.
“Ok, tunggu sat na”.
Dalam waktu menunggu itu, aku menghabiskan masa dengan
bermain ‘games’.
Tidak beberapa lama kemudian, isteriku turun dan berjalan ke
arahku.
Dari jauh aku sudah dapat melihat dia tersenyum ke arahku.
Setelah dia sudah sampai ke sisi motor kami, aku bertanya
kepadanya sebab-sebab dia merasa sakit kepala.
Dia memaklumkan bahawa banyak sedikit kerja pada hari ini.
Lagipun dia tidur agak lewat malam tadi maka dia rasa agak mengantuk. Tetapi
disebabkan dia mahu menyiapkan kerjanya dengan segera, perasaan mengantuk itu
ditahannya dan menyebabkannya sakit kepala.
“Ok, takpelah, balik rumah nanti awak rehat dulu. Kalau
mengantuk sangat, awak tidurlah sekejap” syorku kepadanya.
Dalam masa yang sama, kami berdua sudah pun menaiki motor
untuk pulang ke rumah. Aku pun tak banyak tanya di atas motor seperti
kebiasaannya kerana isteriku yang tidak berapa ‘segar’ akibat keletihan.
Aku pun melencongkan motor ku untuk melalui jalan
‘short-cut’ menuju pulang. Jalannya tidak rata dan berbatu-batu kecil.
Pada waktu itulah, dengan tiba-tiba ada beberapa ekor anjing
menyalak-nyalak ke arah motor yang dinaiki kami berdua. Aku hanya buat
‘selamber’ sahaja melihat anjing-anjing itu membuat bising.
Tiba-tiba salah seekor anjing tu bertindak agresif. Ia bukan
sahaja menyalak kuat tetapi mula mengorak langkah untuk mengejar motor kami.
Aku terkejut dan isteriku pula terperanjat apabila
anjing-anjing itu beramai-ramai mula mengejar motor kami. Isteriku
menjerit-jerit terkejut kerana anjing itu betul-betul berada dikiri dan kanan
sisi motor kami. Dia memelukku sekuat-kuatnya kerana anjing-anjing itu tidak
berhenti-henti menyalak.
“Mana boleh ikut woiii!!! Dah penuh la woii!! Kau naiklah
motor orang lain, kurang ajar punya anjing!” jerit aku sekuat-kuat hatiku
sambil menunggang motor dengan lebih laju. Nyaris terjatuh kami berdua di
selekoh tajam berpasir kerana anjing-anjing itu ada yang tergelincir masuk ke
dalam longkang.
“Padan muka korang, ada hati nak tumpang motor pulak!”
ketawa besarku diikuti dengan deruan motor yang lebih laju setelah aku melepasi
selekoh tajam tersebut.
Isteriku ketawa sekuat-kuat hatinya kerana ucapan-ucapan
yang aku lontarkan kepada anjing-anjing tersebut.
Setelah sampai di kawasan rumah kami, aku masih boleh
mendengar ketawanya yang belum berhenti.
“Kenapa awak ketawa?” soal aku serius.
Isteriku hanya masih ketawa dan mula menutup mulutnya kerana
masih menahan ketawa.
Aku mengulangi soalanku semula.
“Awak marah anjing tu sebab awak ingat anjing tu nak naik
motor kita ni ke?” ucap isteriku sambil ketawa dan mukanya merah menahan
ketawa.
“Ye ke awak?” keningku berkerut apabila
mendengar penerangan isteriku.
#geinwoenterprise
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir
COPYRIGHT © 2000-2018 by SHAH ISKANDAR, GEnius INteractive WOrks ( GEINWO ) Ent. http://www.geinwo.com
All Rights Reserved.
DISCLAIMER:
Copying or re-publishing this articles in any manner possible is
illegal and prohibited. The author will take legal action to any wrong
doing or unethically of conduct.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan