enuff is not enuff

Ahad, 22 April 2018

Eh, tak boleh tumpang lah!


“Yang, hari ni awak ambil saya balik, saya pening kepala lah” ucap isteriku di hujung talian.

“Ok” balasku pendek.


Aku kembali menyambung untuk menaip kerja-kerjaku yang belum siap lagi. Rasanya macam tak sempat sebab hari ni aku kena keluar awal sedikit untuk ke pejabat isteriku. Aku pun jadi pelik kenapa dia sakit kepala hari ini. Oh mungkin banyak kerja kat pejabat, sebab tu sakit kepala, bisik hatiku.


Waktu berlalu begitu pantas sehingga aku tak sedar jam di dinding sudah menunjukkan jam lima petang. Aku pun mengemaskan mejaku. Kemudian aku menutup suis komputerku kerana aku harus bergegas balik. Jika tidak, aku mungkin tiba lewat di pejabat isteriku.


Selesai semua, aku pun keluar dari bilik selepas menutup suis lampu. Aku berjalan laju menuju ke pintu ‘access’ untuk keluar dari pejabat. Selepas itu, aku menekan butang lif pula untuk turun ke bawah. Agak lama juga aku menunggu barulah lif terbuka untuk aku. Lalu aku pun menekan butang B1 untuk ke tempat letak kenderaan motor.


Dengan sepantas kilat aku sudah meluncur ke jalan raya untuk mengambil isteriku di pejabatnya. Dalam tempoh masa lebih kurang dua puluh minit, akhirnya aku tiba di perkarangan pejabat isteriku bekerja. Aku lalu mematikan enjin motor dan mengeluarkan telefon untuk memaklumkan kehadiranku di pejabatnya.


“Awak, saya dah sampai bawah” begitulah pesanan ringkas yangku hantar kepadanya.

Dalam tempoh beberapa saat kemudian, isteriku membalas pesananku.


“Ok, tunggu sat na”.

Dalam waktu menunggu itu, aku menghabiskan masa dengan bermain ‘games’.

Tidak beberapa lama kemudian, isteriku turun dan berjalan ke arahku.


Dari jauh aku sudah dapat melihat dia  tersenyum ke arahku.

Setelah dia sudah sampai ke sisi motor kami, aku bertanya kepadanya sebab-sebab dia merasa sakit kepala.


Dia memaklumkan bahawa banyak sedikit kerja pada hari ini. Lagipun dia tidur agak lewat malam tadi maka dia rasa agak mengantuk. Tetapi disebabkan dia mahu menyiapkan kerjanya dengan segera, perasaan mengantuk itu ditahannya dan menyebabkannya sakit kepala.


“Ok, takpelah, balik rumah nanti awak rehat dulu. Kalau mengantuk sangat, awak tidurlah sekejap” syorku kepadanya.


Dalam masa yang sama, kami berdua sudah pun menaiki motor untuk pulang ke rumah. Aku pun tak banyak tanya di atas motor seperti kebiasaannya kerana isteriku yang tidak berapa ‘segar’ akibat keletihan.


Aku pun melencongkan motor ku untuk melalui jalan ‘short-cut’ menuju pulang. Jalannya tidak rata dan berbatu-batu kecil. 


Pada waktu itulah, dengan tiba-tiba ada beberapa ekor anjing menyalak-nyalak ke arah motor yang dinaiki kami berdua. Aku hanya buat ‘selamber’ sahaja melihat anjing-anjing itu membuat bising. 


Tiba-tiba salah seekor anjing tu bertindak agresif. Ia bukan sahaja menyalak kuat tetapi mula mengorak langkah untuk mengejar motor kami. 


Aku terkejut dan isteriku pula terperanjat apabila anjing-anjing itu beramai-ramai mula mengejar motor kami. Isteriku menjerit-jerit terkejut kerana anjing itu betul-betul berada dikiri dan kanan sisi motor kami. Dia memelukku sekuat-kuatnya kerana anjing-anjing itu tidak berhenti-henti menyalak.


“Mana boleh ikut woiii!!! Dah penuh la woii!! Kau naiklah motor orang lain, kurang ajar punya anjing!” jerit aku sekuat-kuat hatiku sambil menunggang motor dengan lebih laju. Nyaris terjatuh kami berdua di selekoh tajam berpasir kerana anjing-anjing itu ada yang tergelincir masuk ke dalam longkang.


“Padan muka korang, ada hati nak tumpang motor pulak!” ketawa besarku diikuti dengan deruan motor yang lebih laju setelah aku melepasi selekoh tajam tersebut.

Isteriku ketawa sekuat-kuat hatinya kerana ucapan-ucapan yang aku lontarkan kepada anjing-anjing tersebut.


Setelah sampai di kawasan rumah kami, aku masih boleh mendengar ketawanya yang belum berhenti. 


“Kenapa awak ketawa?” soal aku serius.

Isteriku hanya masih ketawa dan mula menutup mulutnya kerana masih menahan ketawa.

Aku mengulangi soalanku semula.


“Awak marah anjing tu sebab awak ingat anjing tu nak naik motor kita ni ke?” ucap isteriku sambil ketawa dan mukanya merah menahan ketawa.
“Ye ke awak?” keningku berkerut apabila mendengar penerangan isteriku.


#geinwoenterprise
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir

COPYRIGHT © 2000-2018 by SHAH ISKANDAR, GEnius INteractive WOrks ( GEINWO ) Ent. http://www.geinwo.com
All Rights Reserved.
DISCLAIMER: Copying or re-publishing this articles in any manner possible is illegal and prohibited. The author will take legal action to any wrong doing or unethically of conduct.

Rabu, 13 Disember 2017

Keluarga Bahagia.




Konsep keluarga adalah “Institusi keluarga adalah unit sosial yang kecil dalam sesebuah masyarakat. Sekiranya keluarga itu baik, maka masyarakat turut menjadi baik. Kesejahteraan dalam masyarakat mempunyai hubungan rapat dengan pembinaan individu dalam institusi keluarga yang berkualiti menurut Islam” (rujukan : http://journalarticle.ukm.my/3419/) . Semua orang mengimpikan keluarga bahagia. Kalau boleh seperti keluarga kita sendiri iaitu ada abah, mak dan adik-beradik kita. Kita rasa bahagia dengan keluarga adik-beradik kita. Bergaduh dan berselisih faham itu perkara biasa dalam keluarga besar iaitu mempunyai adik-beradik yang ramai. Berbeza kalau kita merupakan anak tunggal keluarga kita. Keadaan pasti berbeza walaupun kita tidak mempunyai adik-beradik untuk kita berselisih faham. Anak tunggal berselisih faham dengan ibubapa dia; cumanya dia beruntung kerana ibubapa tiada lagi anak yang lain untuk dicurahkan kasih sayang mereka. Oleh itu, anak tunggal ini ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ oleh sesetengah ibubapa. Tidaklah menjadi kesalahan kerana, sekiranya betul cara asuhan dan didikan oleh ibubapa, anak tunggal ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah. Barulah keluarga akan menjadi bahagia apabila masing-masing memainkan peranan masing-masing dengan baik. Begitu juga dengan keluarga yang besar. Saya mempunyai empat adik beradik dengan satu ibu dan satu ayah. Ada kawan saya mempunyai beberapa adik-beradik dengan satu ayah dan dua ibu; ada juga yang dua ayah dan satu ibu; maksudnya perceraian berlaku dan anak-anak ini memperolehi ayah atau ibu tiri. Anak-anak mereka mempunyai saudara tiri. Penceraian dalam keluarga bukan bererti keluarga tidak bahagia tetapi lebih menjurus kearah kesesuaian individu tersebut dalam konteks keluarga berkenaan. Perkara yang paling utama adalah kesesuaian ibu dan bapa dalam membentuk keluarga mereka. Sekiranya kesesuaian wujud dan kurang pertelingkahan diantara mereka, saying menyayangi keduanya diantara satu sama lain, pasti anak-anak akan dipantulkan dengan nilai-nilai positif dan harmoni bagi membolehkan keluarga bahagia ini tercipta. Dan selepas itu, apabila anak-anak ini membesar dan menjadi dewasa, mereka juga mengimpikan keluarga yang bahagia. Saya juga mengimpikannya kerana ganjaran Allah kepada sesiapa yang berkahwin adalah sangat tinggi disisiNya (Firman Allah SWT dalam Surah An-Nuur 24; Ayat 32 : “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya – pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.”)(Rujukan : http://www.surah.my/). Kita diibaratkan membina ‘masjid’ sekiranya kita berani menyahut cabaran Allah untuk berkahwin kerana bukan semua orang sanggup berbuat demikian dengan alasan tidak bersedia dan sebagainya. Keluarga bahagia bukan berlandaskan kemewahan dan material semata-mata. Ia merupakan satu perjalanan bagi satu pasangan yang berkongsi hidup dan beranak-pinak. Seterusnya, anak-anak mereka pula meneruskan tradisi berkenaan dan beranak-pinak pula. Perjalanan yang dimaksudkan adalah, konsep keluarga itu sendiri adalah berkongsi hidup bersama-sama dan meneruskan hidup. Sekiranya sesebuah keluarga itu ‘gagal’ menghadirkan kebahagiaan yang dikehendaki, kemungkinan keluarga tersebut akan terjebak dengan keporak-perandaan dalam hubungan kekeluargaan dimana ibubapa dan anak-anak menghadapi konflik yang tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana ahli dalam keluarga dan akhirnya mereka berpecah-belah dan seterusnya institusi keluarga ini runtuh dengan sendirinya apabila sampai waktunya. Oleh itu, keluarga yang bahagia sangat penting dalam menyumbangkan kekukuhan dalam hubungan kekeluargaan yang sentiasa berubah-ubah mengikut masa dan ketika. Saya bersyukur kerana keluarga ibubapa saya kukuh sehinggalah ibu saya meninggal dunia. Saya dan adik-beradik lain membina keluarga kami sendiri selepas ibu tiada. Ayah pula cuba membina semula keluarga baru kami dengan berkahwin lain. Masing-masing kini sudah mempunyai keluarga bahagia masing-masing dengan ‘acuan’ masing-masing. Saya juga sudah mempunyai anak-anak dan begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain, masing-masing juga sudah mempunyai anak-anak. Anak-anak inilah yang akan meneruskan legasi keluarga bahagia kami di masa depan. Kita boleh membimbing mereka dari sekarang agar menjadi seorang individu yang cemerlang agar disuatu masa nanti, mereka akan mampu untuk membentuk keluarga mereka yang bahagia juga.
Rujukan :
1.      http://www.surah.my/
2.      http://journalarticle.ukm.my/3419/ “Konsep keluarga berkualiti menurut Islam”


#geinwoenterprise
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir

COPYRIGHT © 2000-2017 by StormG, GEnius INteractive WOrks ( GEINWO ) Ent. http://www.geinwo.com
All Rights Reserved.
DISCLAIMER: Copying or re-publishing this articles in any manner possible is illegal and prohibited. The author will take legal action to any wrong doing or unethically of conduct.


Khamis, 30 November 2017

BINGO DAN RAMBO



Satu hari didalam sebuah kampung tinggallah seekor kucing jantan yang bernama Bingo dan seekor ayam jantan yang bernama Rambo. Mereka merupakan sahabat baik. Selalu menghabiskan masa bersama-sama setiap petang di 'port' bawah pokok kelapa 'tuan' mereka. Hari ni Bingo nampak macam susah hati. Rambo perasan perubahan wajah pada Bingo. "Kenapa Bingo?"
"Aku risaulah Ram..."
"Ada masalah lakibini ke?"
"Bukan yang itu.."
"Kalau bukan tu mesti masalah anak-anak kau...aku tahu anak-anak kau memang nakal sikit, sabar ja lah"
"Bukan juga Ram...ni masalah lain"
"Cuba kau try explain, kurang sikit stress kau tu.."
"Aku nak explain tapi aku malu nak jelaskan"
"Apa nak dimalukan? Kita dah macam saudara walaupun fizikal kita jauh berbeza"
"Ram, bukan semua masalah kita boleh kongsikan."
"Aku tahu Bingo. Kalau kau tak kenal aku dan aku tak kenal kau memang lah macam tak kena kalau kau bagitau aku. Tapi kita dah kawan lama dah. Aku kenal mak ayah kau, sama juga macam kau, dah kenal dengan mak ayah aku. "
"Ram, kalau kau takde duit kau risau tak?"
"Apasal tukar topic? Tadi kata ada masalah. Yang kau tanya kenapa aku risau kalau takde duit kenapa?"
"Ni la masalahnya. Anak-anak aku nak masuk sekolah tahun depan. Budget aku macam tak dapat nak tampung perbelanjaan mereka."
"Kenapalah kau risau sangat pasal masalah ni?"
"Mestilah aku risau. Macam orang putih tu cakap, if you fail to plan then you are planning to fail. "
"Aku pelik la kenapa kau fikir sangat pasal masalah ni. Aku tak heran pun."
"Ya lah, aku ni kan ayah mithali. Aku kena fikir semua perkara ni. Aku tak boleh duk diam ja. Nanti bila dah susah baru nak cari jalan penyelesaian, tak guna dah."
"Tadi kau makan apa Bingo?"
"Apasal kau tukar topik pulak? "
"Aku tak tukar topik. Aku cuma tanya soalan mudah pada engkau."
"Kau ni peliklah Ram."
"Kau pulak cakap aku pelik. Patut kau cermin diri kau tu kenapa aku cakap kau pelik tadi."
"Aku okay ja. Makan tengahari tadi macam biasalah. Tuan aku buh dalam bekas makanan aku kat tempat biasa dan waktu biasa."
"Okay, sekarang kau tengok dalam lopak air kat situ."
"Kau nak aku tengok apa Ram?"
"Aku nak kau pergi dan bagitau aku apa yang kau lihat kat situ."
Si Bingo berjalan malas ke lopak air tersebut. Apabila sampai dia terus melihat ke dalam lopak air itu. Tiada apa yang menarik, cuma refleksi muka dia dalam lopak air itu. Bingo kembali berjalan menuju ke bawah pokok kelapa.
"Apa yang kau nampak tadi?"
"Eh...dah tentulah muka aku!"
"Haa..kan?.."
"Habis tu kenapa?" Bingo buat muka tak puas hati dengan jawapan Rambo.
"La, aku ingat kau faham dengan apa yang aku cakap tadi.."
"Aku mana faham. Kau suruh aku pergi ke lopak air tu. Kau suruh aku tengok dalam lopak. Aku dah cakap dengan kau tadi. Aku nampak muka aku la...apa yang susah kau nak faham?", balas Bingo panjang lebar.
"Okaylah, aku ingat kau faham tapi kau tak faham rupanya. Maksud aku suruh kau pergi tengok kat lopak sebab aku nak kau sedar yang kau tu seekor kucing! Kau mana kerja. Kau tak bagi makan anak bini kau, tapi Tuan kita yang bagi. Yang kau sibuk nak buat belanjawan bagai ni kenapa? Kau tu kucing, bukan manusia. Kalau kau manusia, lain la...adohaii...", jelas Rambo dengan panjang lebar kepada si Bingo yang sedang tersenyum macam kambing...


#geinwoenterprise
#victoryventureevo
#potensidiri
#rahsiatarikhlahir

COPYRIGHT © 2000-2017 by StormG, GEnius INteractive WOrks ( GEINWO ) Ent. http://www.geinwo.com
All Rights Reserved.
DISCLAIMER: Copying or re-publishing this articles in any manner possible is illegal and prohibited. The author will take legal action to any wrong doing or unethically of conduct.


Rabu, 29 November 2017

Pelekat Hijau yang ramai orang tidak tahu.



Kita biasa beli barang di pasar, supermarket, minimarket, hypermarket; dan mana-mana premis yang menggunakan sebarang alatan untuk mengukur atau menyukat sesuatu barang yang kita beli, kita mungkin tidak perasan yang semua peralatan tersebut mestilah ditentusahkan oleh satu badan yang dilantik oleh kerajaan bagi mengawalselia urusan jual-beli tersebut. Badan yang dilantik itu adalah Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM) di bawah agensi seliaan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan). Jadi, untuk apa pelekat hijau ini? Apa kegunaannya? Mudah sahaja, ia merupakan salah satu tanda pengesahan dari MCM bahawa sebarang pelekat yang telah dilekatkan ke sebarang peralatan pengukuran ataupun sukatan telah ditentusahkan oleh pegawai yang dilantik bagi mengelakkan penipuan dalam ukuran mahupun sukatan yang dijalankan semasa urusniaga diantara penjual dan pembeli. Sebagai contoh, alat timbangan untuk menimbang berat ikan yang dibeli dipasar, bagi memastikan timbangan tersebut adalah betul dan tepat, satu pelekat akan ditampal dibahagian dalam diantara nombor-nombor dijarum penimbang yang mesti bermuka dua; depan dan belakang. Sebelum kita membuat timbangan ikan tersebut, sebagai pengguna yang prihatin dan bijak, kita seharusnya perasan pelekat berwarna hijau ini ditampal disitu. Pastikan tarikhnya belum luput. Seharusnya, pelekat berkenaan memaparkan maklumat seperti tarikh luput, kod jenis alat dan nombor daftar bagi penentusahan tersebut. Sekiranya kita perasan samada tarikh nya sudah luput, kita bolehlah memaklumkan kepada peniaga berkenaan dan meminta alat timbang yang belum tamat tempoh digunakan bagi timbangan yang tepat. Sekiranya peniaga enggan, kita boleh membuat aduan ke KPDNKK bagi mengambil tindakan sewajarnya ke atas peniaga berkenaan mengikut undang-undang dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972. Begitu juga dengan peralatan sukatan lain, sebagai contoh pam di stesen minyak, pembaris mengukur sukatan kain ela, timbang elektronik, mesin meter tempat meletak kenderaan (kawasan terbuka), mesin meter masuk ke tempat meletak kenderaan (kawasan tertutup), dan juga meter-meter teksi dan sebagainya yang kita boleh lihat dan perasan. Oleh itu, bermula dari sekarang, kita harus melihat perkara-perkara ini sebelum menjalankan sebarang urusniaga agar kita dapat mengelakkan sebarang penipuan oleh peniaga yang menggunakan alatan sukatan yang telah diubahsuai dan timbangan yang menyeleweng.

Rujukan :
1.       http://www.kpdnkk.gov.my